Saturday, March 13, 2010

PABILA MUSA TARIK DUIT SAKAN ...

Musa Liabiliti Kepada Najib, Perlu Letak Jawatan

SHAH ALAM 13 Mac - Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menafikan beliau meletakkan jawatan menguatkan spekulasi terdapat usaha terancang menyingkirkan beliau sebagai Ketua Polis Negara.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata perkara itu berlaku kerana kegagalan Musa dalam membanteras kadar jenayah yang semakin tinggi dan hubungkait Musa yang dikatakan terlibat dalam kegiatan jenayah serta kongsi gelap.

"Saya percaya adanya usaha daripada pihak kerajaan supaya beliau dipecat daripada tugasnya sebagai Ketua Polis Negara dan perkara ini dikuatkan dengan pendedahan serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya baru-baru ini yang menemui sejumlah besar wang. Sehingga sekarang perkara ini tidak dinafikan Musa," ujarnya.

Kata Shamsul penafian itu merupakan strategi Musa untuk kekal berkuasa sebagai KPN supaya segala perlakuan rasuah dan jenayah yang dilakukan selama ini tidak diketahui umum.

Perkara itu dikuatkan lagi dengan pembebasan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Ramli Yusuf di Mahkamah Sesyen daripada dakwaan tiga kes gagal mengisytiharkan harta miliknya.

Ramli yang juga pegawai ke tiga tertinggi dalam hirarki Polis Di Raja Malaysia sebelum ini mengaitkan Musa dalam kegiatan jenayah dan kongsi gelap.

Pada 2007 Ramli mendakwa beliau dan pegawainya menjadi mangsa konspirasi setelah jabatan yang diketuainya bertindak menyiasat kongsi gelap dan kegiatan bawah tanah membabitkan ahli perniagaan Johor, Goh Cheng Poh atau Tengku yang turut dikaitkan dengan Musa.

Menurut Shamsul bukan satu kebetulan apabila Musa menafikan beliau meletakkan jawatan, sehari selepas Ramli Yusuf dibebaskan daripada tuduhan tersebut. - Suara Keadilan